JOHOR BAHRU – Jabatan Pertanian Johor akan meneruskan program insentif dan bantuan untuk bidang tanaman serta industri hiliran bagi memastikan unjuran pengeluaran produk makanan di negeri ini terus berkembang sekali gus memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Ismail Mohamed berkata antara program yang dilakukan merangkumi Projek Pembangunan Industri Pengeluaran Makanan Utama Negeri Johor; Projek Pembangunan Sawah Padi, Tanaman Industri, Florikultur dan Komoditi Berpotensi serta Program Galakan Peningkatan Pengeluaran Pertanian.
“Program lain termasuk Program Pembangunan Pertanian Lestari; Program Pertanian Rakyat; Program Pembangunan Industri Asas Tani; Program Bantuan Bencana; Program Galakan Usahawan Tani serta Pembangunan Sumber Manusia iaitu melibatkan latihan kepada petani, usahawan serta belia tani,” katanya kepada Bernama.
Ismail berkata pemberian insentif dan bantuan projek pertanian dalam bentuk penyediaan infrastruktur, peralatan, input pertanian, perkhidmatan teknikal serta pemindahan teknologi itu akan dapat menentukan pembangunan pertanian yang berterusan.
Beliau berkata Jabatan Pertanian Johor turut memainkan peranan penting dalam penghasilan produk pertanian yang berkualiti dan menepati piawaian ditetapkan seperti Skim Amalan Pertanian Baik (MyGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (MyOrganic).
Ismail berkata pertanian di negeri ini juga dapat diperkasakan dengan memperkenalkan konsep baharu bagi pembangunan tanaman dan industri hiliran seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan pembangunan secara kluster.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata kerajaan Johor memperuntukkan RM40,000 tahun lepas sebagai bantuan ihsan bencana kepada 33 petani di negeri ini.
Beliau berkata kesemua petani tersebut menghadapi pelbagai bentuk bencana termasuk kemarau, ribut dan serangan gajah.
“Antara tanaman yang terjejas akibat bencana itu adalah sayuran berdaun, sayuran buah, beberapa jenis pisang termasuk pisang tanduk dan pisang berangan, kelapa matag, padi, buah-buahan termasuk nangka, durian belanda dan limau kasturi, ubi kayu serta lengkuas,” katanya dan menambah setiap petani menerima bantuan antara RM500 dan RM1,000 seorang mengikut jenis tanaman yang terjejas.
Menurut Ismail, selain peruntukan kerajaan negeri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut memperuntukkan RM67,000 menerusi Tabung Bencana Negara bagi bantuan kemarau tahun lepas.
Katanya, 134 petani menerima bantuan terbabit yang melibatkan daerah Mersing, Pontian, Kluang, Muar, Segamat dan Kota Tinggi.
“Melalui peruntukan negeri, bantuan yang disalurkan hanya melibatkan kawasan atau bencana yang kecil sahaja. Sekiranya melibatkan fenomena kemarau yang besar dan menyebabkan ramai petani terjejas, maka, permohonan bantuan ihsan akan dikemukakan kepada kementerian,” katanya. – BERNAMA