PEJAM celik… pejam celik… umat Islam di seluruh dunia sudah pun memasuki bulan penuh rahmat dan keampunan iaitu Bulan Ramadan.
Apabila tibanya bulan Ramadan, maka bermula la suasana di mana Masjid dan surau sesak dipenuhi dengan para Jemaah yang mahu melipat gandakan pahala selain menantikan malam Lailatul Qadar.
Kalau di Malaysia, sudah menjadi fenomena limpahan bazar Ramadan mewarnai jalan-jalan raya di sekitar ibu negeri ini memeriahkan lagi suasana bulan puasa. Pendek kata, sebut sahaja apa yang anda idam-idamkan, murtabak, roti john, nasi ambeng? Semua ada punya!
Memang rambang mata jadinya kalau bab-bab pilih makanan ini. Lagi-lagi masa kita berpuasa.
Selain itu, restoran-restoran makanan turut giat mengadakan pelbagai tawaran pakej bagi menarik perhatian pelanggan dengan menghidangkan pelbagai aneka juadah yang cukup mengiurkan.
Pasar raya pun mestilah tidak mahu kalah. Bermacam-macam promosi dan tawaran harga murah diadakan yang boleh buat kaum ibu tersenyum mendapatkan bahan mentah dengan harga tidak masuk akal.
Namun, dalam pada keseronokan anda menikmati makanan yang sedap-sedap, adakah anda menitikberatkan mengenai tips kualiti dan keselamatan makanan ketika membeli makanan, berbuka di restoran atau memasak makanan di rumah?
Pernahkah terdetik di fikiran anda, selamat ke makan yang masuk dalam perut itu?
Tahukah anda, statistik menunjukkan masalah kesihatan yang paling kerap berlaku ketika bulan Ramadan adalah akibat keracunan makanan.
Tahun lalu sahaja, 19 orang dilaporkan mengalami cirit-birit dan muntah selepas menikmati makanan yang dibeli di sebuah gerai di bazar Ramadan Paka, Terengganu.
Makanya, sudah masanya anda menjadi cerewet dan mengambil serius terhadap isu kebersihan penyediaan makanan.
Oleh itu, jangan lupa buat 5 perkara ini sebelum ke Bazar Ramadan.
1. Perhati
Sebelum Beli Makanan:
• Perhati gerai yang bersih dan tiada hurungan lalat.
• Perhati pengendali makanan memakai apron dan penutup kepala bersih, tidak meludah, merokok dan menyentuh makanan dengan tangan.
• Pastikan makanan ditutup dan tidak dihurung lalat.
2. Pilih
Sebelum Beli Makanan:
• Pilih gerai yang bersih, jauh dari longkang dan pembuangan sampah.
• Pilih yang baru dimasak atau masih panas.
• Jangan beli makanan yang ditutup dengan suratkhabar.
• Beli ais yang siap dibungkus dan berlabel kerana ia lebih bersih dan selamat.
• Pilih gerai menjual tebu yang telah dibuang kulit, tidak diletakkan di atas tanah dan disimpan dalam bekas yang bersih.
3. Lihat, Hidu, Rasa
Amalkan Lihat, Hidu dan Rasa sebelum makan untuk elakkan keracunan makanan. Perlahan-lahan lihat, hidu dan rasa makanan jika dah berbau dan merasa pelik buang makanan tersebut.
4. Di Rumah
Apabila di rumah, tidak bermakna kita sudah selamat. Amalkan tujuh langkah cuci tangan sebelum makan. Gunakan sabun bagi membuang kotoran dan kuman.
Elakkan menghidang makanan lebih daripada empat jam selepas dimasak. Simpan lebihan makanan di dalam peti sejuk.
5. Sahur
Makanan yang dibeli untuk bersahur perlu disimpan di dalam peti sejuk dan dipanaskan dengan sempurna sebelum dimakan.
Jangan simpan makanan di dalam peti sejuk lebih dari tiga hari.
Amacam tip-tip yang baru diberikan tadi? Best, kan!
Jangan lupa share artikel ni pada kawan-kawan dan keluarga anda yang suka ke bazar Ramadan.
Tip ini disediakan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. – MYNEWSHUB.CC