KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita sebanyak 168 buah kenderaan klon sejak Januari lepas sehingga kini, kata Pengarah JPJ Kelantan Mahasan Mustapha.
Beliau berkata kenderaan klon yang dirampas itu kebanyakannya adalah jenama Honda dan dibeli dengan harga sekitar RM8,000 hingga RM25,000 sebuah bergantung kepada model kenderaan terbabit.
“Kereta klon ini biasanya dijual secara dalam talian dengan pelbagai tawaran menarik serta model kenderaan yang boleh dipilih pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Program Selamat Sampai Ke Destinasi Bersama JPJ Kelantan di Melor, di sini, hari ini.
Mahasan berkata dalam kes terbaru minggu lepas, pihaknya berjaya merampas dua buah kenderaan klon iaitu Honda Jazz dan Odyssey daripada dua individu yang juga kakitangan awam.
“Kereta itu dikatakan dibeli secara ‘online’ dan boleh diperolehi dalam tempoh sebulan sahaja. Biasanya kenderaan seperti ini mudah dicam oleh JPJ melalui sekatan jalan raya,” katanya.
Dalam program itu, pengguna jalan raya yang melalui Pasar Melor diberikan risalah keselamatan oleh anggota JPJ, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Kelantan Bikers.
Mengenai jumlah kenderaan klon yang berada di Kelantan, Mahasan berkata jumlah itu tidak dapat dipastikan.
“Sebenarnya kebanyakan kenderaan klon yang berada di negara ini adalah daripada Singapura selain kita syak dari Thailand.
“Bagi yang ditahan kerana memiliki kenderaan klon ini mereka boleh dikenakan denda sehingga RM12,000 kerana kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM), nombor pendaftaran palsu selain tiada insurans kenderaan,” katanya. – BERNAMA