KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak berpuas hati dengan laporan negatif media berhubung kegagalan skuad negara mengalahkan Lebanon pada 13 Jun lalu, laman Facebook rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT) mengungkit kisah lampau sewaktu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Laman Facebook Johor Southern Tigers (JST) dalam satu kenyataan mendakwa kredibiliti Presiden FAM yang baharu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah dipertikai oleh pihak media hanya kerana kekalahan itu sedangkan media didakwa tidak pernah menyebut nama Sultan Pahang ketika sejarah kegelapan bola sepak negara.
“Segala kebaikan dan perkara positif yang telah dilakukan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selama ini telah dilupakan dan tidak dihargai, malah kredibiliti baginda dinilai dan dipertikai hanya satu perlawanan sahaja.
“Ketika sejarah kegelapan bola sepak negara dimana lebih 100 pemain didapati terlibat dalam gejala rasuah, tiada pun media menyebut nama Sultan Pahang.
“Pada dua tiga tahun yang lepas ketika pasukan Malaysia kalah besar 10-0, 6-0 tiada sesiapa pun yang menulis nama Tengku Mahkota Pahang (Tengku Abdullah) atau Dollah Salleh (bekas jurulatih Harimau Malaya).
“Tetapi hari ini, selepas pasukan Malaysia tewas satu perlawanan dengan pasukan yang kuat, media telah menulis Tunku Mahkota Johor telah gagal,” kata laman Facebook berkenaan hari ini.
Laman Facebook JST mendakwa, situasi itu berlaku kerana Tunku Mahkota Johor tidak memberi suapan kepada media dan menjaga ahli-ahli politik.
Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa sebelum perlawanan di Stadium Larkin di Johor itu bermula menyifatkan kelebihan adalah buat pasukan Malaysia kerana ranking Lebanon tidak sekuat mana dan tidak jauh dari ranking Malaysia.
Skuad negara tewas 1-2 kepada Lebanon pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lebanon di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.
Pada perlawanan tersebut, Malaysia tewas 1-2, sekali gus menghuni tangga tercorot Kumpulan B tanpa sebarang mata. – MYNEWSHUB.CC