IPOH – Ketibaan bulan Ramadan sememangnya dinanti setiap penduduk Kampung Kepayang, Fair Park, di sini kerana hanya sekali setahun, mereka dapat menikmati juadah kegemaran mereka.
Kalau di Kampung Baru, Kuala Lumpur terkenal dengan Bubur Lambuk, Kampung Kepayang pula terkenal dengan ‘Kanji’, sejenis bubur yang berasaskan kekacang dan beras.
Di kampung yang berusia lebih 100 tahun ini, para pegawai Masjid Al-Khairiah bertukus lumus menyediakan juadah ini setiap kali tibanya bulan Ramadan. Ia dihidang secara percuma kepada penduduk kampung dan sesiapa sahaja yang datang ke sini.
“Budaya memasak Kanji sudah lama dibuat di kampung ini. Kira-kira pada akhir 1940-an sudah dibuat oleh orang-orang tua pada waktu itu. Masak pun dalam periuk, untuk dihidang kepada jemaah surau sahaja,” kata Mohd Isa Mohd, 79 tahun.
Isa adalah antara ‘orang lama’ menguruskan acara tahunan ini di sini. Pengalaman beliau selama hampir 60 tahun daripada 1950-an hingga 2010 sentiasa dikenang penduduk kampung.
RESEPI TURUN TEMURUN
Pembuatan Kanji hanya menggunakan bahan-bahan asas. Resepi asal Kanji juga tidak memerlukan bahan seperti daging dan ayam. Udang kering sahaja pun sudah cukup memberi rasa lazat kepada makanan ini.
Antara bahan yang digunakan adalah beras, lobak merah, ubi keledek, bawang, halia, kacang tanah, kacang pis, kacang dhal, santan, minyak sapi daun bawang dan daun sup.
“Mungkin kerana adunan ini selepas dimasak menjadi pekat dan likat seperti kanji, dari situlah ia mendapat nama ‘kanji’. Sebenarnya tidak ada jawapan paling tepat tentang asal usul nama makanan ini sebab kita pun dapat namanya ikut panggilan orang-orang tua,” cerita Isa.
Proses memasak mengambil masa dua setengah jam untuk dua kawah. Lima petugas diperlukan untuk menyediakan bahan, mengacau dan menjaga api dapur kayu yang digunakan.
Menurut Isa, dapur kayu lebih-lebih lagi jika menggunakan kayu pokok getah akan memberi aroma yang tersendiri kepada kanji. Rasa dan aroma kanji akan ‘kurang’ jika menggunakan dapur gas.
Bekas tukang masak di Markas Tentera Darat Kem 2 Briged, Ipoh ini kemudiannya menambah kata, 60 tahun lepas beliau hanya perlu memasak seperiuk Kanji sahaja untuk jemaah yang berbuka puasa di surau, namun sekarang sekurang-kurangnya dua kawah diperlukan untuk memenuhi permintaan orang ramai.
Dua kawah memerlukan kira-kira 30 kilogram beras dan boleh menjamu lebih 200 orang sehari. Cukup untuk memenuhi keperluan jemaah yang berbuka puasa di masjid dan untuk dibawa pulang bagi yang mahu berbuka puasa bersama keluaraga di rumah.
DIKENALI RAMAI
Keenakan Kanji bukan sahaja menjadi buah mulut penduduk Kampung Kepayang. Orang ramai sanggup datang dari pelbagai tempat semata-mata untuk mendapatkannya walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh.
“Orang datang dari merata tempat ke sini. Ada seorang itu setiap hari dia mari dari Taiping untuk bawa makan di rumah. Ada juga yang datang dari Meru, Tanjung Rambutan, Gunung Rapat, Chemor, Buntong dan hospital Ipoh pun ada,” kata siak masjid, Mohd Basir Mohd Tahir, 49 tahun.
Menurut perkiraan penulis, jarak antara Taiping ke Ipoh adalah kira-kira 70 kilometer, mengambil masa sejam perjalanan. Ertinya ada orang yang sanggup memandu selama dua jam sejauh 140 kilometer sehari semata-mata untuk mendapatkan Kanji Kampung Kepayang!
Basir yang mengambil alih tugas memasak kanji sejak 2010 menjelaskan, walaupun dari aspek rupa kanji tidak ‘cantik’ seperti bubur jenis lain ia tetap menjadi kegemaran ramai kerana rasanya yang lain daripada yang lain.
TEMPAT PERTEMUAN PENDUDUK KAMPUNG
Satu hal yang menarik mengenai cara pihak masjid mengurus pengedaran Kanji kepada penduduk kampung dan orang ramai adalah dengan cara ia diagihkan.
Sebaik sahaja selesai solat Zohor, penduduk kampung sudah mula datang ke masjid membawa bekas makanan masing-masing. Pada waktu ini kanji belum pun dimasak. Bekas-bekas makanan ini kemudiannya disusun, ibarat beratur menanti giliran untuk diisi.
Pihak masjid tidak menetapkan had saiz bekas yang dibawa. Bagi pihak masjid apa yang penting adalah kanji dapat habis diagihkan.
Justeru, deretan bekas pelbagai warna dan saiz dapat dilihat. Ada yang kecil. Ada juga yang bawa periuk, bergantung kepada saiz keluarga masing-masing.
Kos memasak kanji pula ditanggung penduduk kampung yang secara bergilir sudi menaja. Kos untuk memasak dua kawah kanji ialah RM500. Ada juga yang memberi wang tambahan untuk memasukkan sebagai resepi tambahan.
Pasukan memasak akan menuang kanji ke dalam bekas-bekas yang sudah disusun dan seawal pukul 3.45 petang orang kampung mula datang untuk mengambil kanji. Suasana jadi meriah bila masing-masing bertegur sapa dan mula bersembang bertanya khabar.
“Bukannya semua orang sempat nak datang beratur ambil kanji. Ada yang kerja, ada yang jaga anak dan sebagainya. Kita mudahkan urusan mereka. Letak sahaja bekas, kita isi dan mereka datang kemudian untuk ambil. Kanji pun habis, semua orang dapat merasa, gembira semua,” ulas Basir sambil mengacau kanji yang hampir masak.
SEDAPNYA UBI KELEDEK
Menurut Rahim @ Umar Din, 75, dari Gunung Rapat, kanji yang dibuat di Kampung Kepayang sudah menjadi pilihannya sejak 40 tahun lepas. Bagi beliau, rupa kanji yang tidak cair menjadikan ia hidangan yang mengenyangkan untuk berbuka puasa.
“Yang buat kanji di sini sedap adalah rasa udang kering dan ubi keledek yang diadun sebati. Tiada tempat lain di Ipoh yang buat kanji seperti ini melainkan Kampung Kepayang,” kata beliau.
Sementara itu, Jaafar Ismail, 70, turut tidak melepaskan peluang mendapatkan Kanji di sini untuk hidangan di Masjid Al Ansor dekat Buntong kira-kira sembilan kilometer dari sini. Setiap hari beliau akan membawa periuk untuk diisi kanji untuk dibawa pulang.
Sama juga halnya dengan Naim Ismail, 62, dari Kampung Pasir Puteh yang telah 10 tahun membantu rakan-rakannya mengambil kanji dari sini. Beliau mengisi kanji dalam beberapa plastik besar yang kemudiannya diagihkan kepada rakan-rakan di kampung beliau.
Seorang lagi peminat kanji, Sheikh Ali Sheikh Long, 56, memberitahu hanya dengan memakan kanji sudah cukup mengenyangkan beliau sehingga waktu sahur hari berikutnya.
“Makan kanji sahaja untuk berbuka. Tak perlu pergi bazar Ramadan dan sebagainya. Rasanya pun sedap,” puji beliau. – BERNAMA