ALOR SETAR – Kedah mencatatkan peningkatan 101.6 peratus kes demam denggi atau 754 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 10 Jun lepas, berbanding 380 kes yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata terdapat tiga kes kematian akibat denggi berbanding satu kes bagi tempoh yang sama tahun lepas yang melibatkan daerah Kulim dan Kuala Muda.
Katanya lapan daerah didapati menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu Kuala Muda (287 kes berbanding 138 kes), Kulim (194 berbanding 61), Baling (77 berbanding 72) dan Kubang Pasu (49 berbanding 17).
Daerah lain ialah Sik (40 berbanding lima), Langkawi (21 berbanding 10), Padang Terap (19 berbanding dua) dan Bandar Baharu dengan 13 kes berbanding sembilan kes tahun lepas.
“Tiga daerah yang menunjukkan penurunan kes ialah Pendang dengan 10 kes berbanding 15 kes, Yan dengan enam kes berbanding tujuh kes manakala Kota Setar menunjukkan bilangan kes yang sama berbanding tahun lalu dengan 38 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata terdapat lima lokaliti wabak denggi yang masih aktif iaitu di Taman Selasih IV, Kulim dengan lima kes; Kampung Charuk Kit, Sik dan Taman Ria Jaya Zon A, Kuala Muda masing-masing dengan tiga kes serta Kampung Changai, Kubang Pasu dan Kampung Banggol 9, Padang Terap dengan masing-masing dua kes.
Katanya, jumlah lokaliti wabak menurun dan semua dalam keadaan terkawal.
Sementara itu, Dr Norhizan berkata dari 1 Jan hingga 10 Jun tahun ini, sebanyak 177 kes melibatkan penyakit Chikungunya yang melibatkan enam daerah telah dicatatkan iaitu di Kuala Muda (100 kes), Baling (72 kes), Pendang (dua kes) dan satu kes masing-masing di daerah Kulim, Sik dan Kubang Pasu.
Beliau berkata dalam tempoh itu, pihaknya melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes di 266,263 premis dan mendapati terdapat 5,162 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.
“Kami mengeluarkan 2,912 kompaun berjumlah RM1,456,000 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, dan 453 notis bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes,” katanya.
Katanya, pihaknya juga melakukan semburan untuk membunuh nyamuk aedes di 283,491 premis di seluruh Kedah dan 52,729 premis diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik. – BERNAMA