KUALA BERANG – Biarpun berdepan dengan masalah kenaikan harga minyak tanah di pasaran namun ia tidak menghalang penyertaan seluruh penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang memeriahkan Pertandingan pelita ‘Gemerlipan’ OKB.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesejahteraan Kampung (J3K) Kampung Getang,Tuan Abdul Razif Tuan Ngah berkata walaupun harga minyak tanah kini mencecah RM4 seliter, mereka mencari alternatif lain bagi menjayakan pesta yang hanya dilakukan pada bulan Ramadan itu.
“Pejabat DUN memperuntukkan RM2,000 bagi setiap kampung yang menyertai untuk membeli segala persiapan seperti pelita dan bahan api. Ekoran minyak tanah mahal sekarang, kami mencari alternatif lain iaitu menggunakan minyak diesel kerana harga lebih murah iaitu RM1.88 satu liter.
“Untuk hiasan kampung, kami habiskan hampir RM7,500 untuk memberi kelainan terutama kepada anak-anak perantau yang mula balik beraya ke kampung dan menaikkan suasana hari raya di sini.
“Bermula 12 Jun lalu, penduduk kampung dari pelbagai lapisan usia berkumpul bersama-sama menghias tanpa mengira fahaman politik dan ia mencetuskan suasana harmoni pada bulan yang mulia ini,” katanya kepada pemberita ketika proses penghakiman pertandingan itu di sini semalam.
Pertandingan tersebut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Taman Perumahan Terbaik, Kampung Terbaik dan Jabatan Kerajaan Terbaik manakala pemenang pertandingan akan diumumkan pada 16 Julai kelak.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perindustrian, merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.
Sementara itu penduduk kampung, Tuan Mohd Tuan Endut, 65, berkata program seumpama ini dapat mengembalikan memori lama kerana kebanyakan pelita yang dihias di kawasan kampung menggunakan pelita tradisional dan juga ‘tambung’.
“Rasa-rasanya budak-budak sekarang mungkin sudah tidak kenal dengan ‘tambung’, iaitu tempurung kelapa yang disusun secara menegak dan dicucuk besi ditengahnya. Selepas itu letak minyak tanah dan bakar untuk dijadikan pelita.
“Selain itu, wujud semangat kerjasama antara penduduk kampung sebab ia bukan sesuatu yang baharu, tetapi sudah lama tidak dilakukan jadi semua jadi teruja untuk turut serta, sehingga ada yang bersahur di sini untuk siapkan pelita,” katanya.
Tengku Putera dalam pada itu berkata beliau gembira kerana program tersebut mendapat sambutan yang positif dari penduduk kampung tidak kira generasi lama dan baharu.
“Sebab ia julung kali diadakan dan saya anggap ia sesuatu yang berjaya dan malam ini kita boleh lihat keseluruhan bandar dan DUN Kuala Berang dihiasi dengan sinaran pelita kerana ia disertai semua, tiada yang tertinggal. Kita juga menyediakan peruntukan sebanyak RM140,000 sebagai bantuan awal.
“Saya cadangkan mungkin pertandingan ini boleh diperluaskan ke semua daerah di Terengganu dan kerajaan negeri juga mungkin boleh menyediakan bantuan bahan bakar sahaja kerana kita boleh lihat di Kuala Berang ini walaupun dengan bajet yang terhad, mereka mampu menghias kampung mereka dengan indah dan dalam suasana yang meriah,” katanya.
– BERNAMA