SANDAKAN – Kerajaan pusat banyak memberikan bantuan dan sumbangan besar dalam memastikan penyediaan aset keselamatan bagi meningkatkan kawalan keselamatan di negeri ini khususnya di kawasan pantai timur.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata ia hasil kerjasama rapat antara kerajaan negeri Sabah dengan kerajaan pusat dalam soal keselamatan di negeri ini.
“”Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah banyak memberikan bantuan dan sumbangan besar dalam memastikan penyediaan aset keselamatan untuk negeri ini khususnya di pantai timur.
“Kerajaan negeri bersyukur dengan komitmen kerajaan pusat terhadap usaha meningkatkan lagi tahap keselamatan di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di sini, hari ini.
Pada majlis itu, DCP Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid yang bersara wajib menyerahkan tugas Komander ESSCom kepada penggantinya DCP Datuk Hazani Ghazali.
Musa berkata keupayaan dan kewibawaan ESSCom dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negeri ini untuk kesejahteraan rakyat memang tidak boleh dinafikan lagi.
Katanya ia juga dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat dan juga pelancong terhadap aspek keselamatan di negeri ini.
Dalam pada itu, Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri berkata kerajaan negeri dan rakyat Sabah berterima kasih kepada jasa dan pengorbanan pihak keselamatan khususnya ESSCom selama ini.
“Saya memberi penghargaan dan terima kasih kepada Wan Abdul Bari, seorang pegawai kanan polis yang berdedikasi dan berpengalaman luas untuk berkhidmat sebagai komander ESSCom selama ini,” katanya.
Beliau percaya kejayaan dan pencapaian ESSCom selama ini akan diteruskan oleh komander yang baharu. – BERNAMA