MUHAMMAD Jabrullah Yahya, 27, dan Nur E’Ezati Md. Sofri, 27, baru sahaja berkahwin sekitar September tahun lalu, namun semalam mereka menemui ajal bersama.
Insiden menyayat hati itu berlaku selepas motosikal yang ditunggang dirempuh pacuan empat roda di Kilometer 4.9 Lebuh Raya Maju (MEX), berhampiran Plaza Tol Salak Selatan menghala Putrajaya, 5 petang kelmarin.
Lebih memilukan, Nur E’Ezati dikatakan mengandung anak sulung. Suami isteri itu adalah kakitangan Hospital Pakar KPJ Tawakkal di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Nadzri Hussain berkata, motosikal mangsa dirempuh di lorong kecemasan MEX.
“Ini menyebabkan mereka berdua tercampak ke penghadang besi di sebelah kiri lebuh raya.Ā Manakala motosikal mangsa diseret sejauh kira-kira 200 meter.
“Kejadian itu menyebabkan Jabrullah cedera parah di bahagian dada sementara E’Ezati cedera di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, seorang saksi mendakwa kenderaan pacuan empat roda itu menggunakan lorong kecemasan lalu melanggar motosikal mangsa.
“Kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat,” katanya. – myMetro Online
*Video di bawah sekadar hiasan…