KUALA LUMPUR – Pemanah negara, Muhammad Ikram Joni, perlu mempamerkan prestasi yang konsisten jika tidak mahu digugurkan daripada acara recurve lelaki pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) yang berlangsung Ogos ini.
Setiausaha Agung Persatuan Memanah Kebangsaan (NAAM) Datuk Abdul Hamid Hassan berkata kegagalannya mengekalkan prestasi konsisten menjadi punca atlet pelapis, Mohd Zharif Shahrir, dilihat sebagai calon terbaik untuk menggantikan posisinya.
Beliau berkata sehingga kini, hanya nama atlet acara recurve lelaki sahaja yang masih belum disahkan setelah kategori recurve wanita dan compound lelaki dan wanita diputuskan.
“Semuanya bergantung kepada prestasi pada Kejohanan Piala Dunia yang sedang berlangsung di Turki. Jika kita tidak berpuas hati dengan persembahannya (Ikram), kami mungkin akan gantikannya dengan Mohd Zharif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan menjelang KL2017 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata skuad memanah menyasarkan empat pingat emas iaitu masing-masing daripada recurve lelaki, compound lelaki serta wanita dan individu wanita.
Beliau berharap status sebagai tuan rumah KL2017 dari 19 hingga 30 Ogos depan dapat menyuntik semangat setiap pemanah untuk beraksi dengan baik, sekali gus dapat mencipta keajaiban dengan meraih lebih daripada sasaran yang ditetapkan.
“Sasaran memang kekal empat pingat emas walaupun pada temasya dua tahun lepas di Singapura kita meraih lima emas. Kita tetap berharap ada bonus pingat emas kali ini,” katanya.
Semua persatuan sukan kebangsaan diberi peluang sehingga hujung bulan ini untuk memuktamadkan senarai atlet sebelum tarikh akhir pendaftaran atlet Sukan SEA pada 1 Julai ini. – BERNAMA