KUALA LUMPUR – Hari Raya Aidilfitri kali ini memberi keceriaan kepada lebih 1,500 penunggang motosikal sekitar Parlimen Setiawangsa apabila menerima sumbangan minyak petrol percuma.
Ahli Parlimennya, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, program itu merupakan inisiatifnya bagi membantu meringankan beban dan mendekati penduduk setempat.
“Program ini julung kali diadakan bagi mengisi petrol percuma kepada sejumlah penunggang motosikal di kawasan ini bermula dari pukul 10 hingga 12 tengah malam ini.
“Saya berharap mereka yang pulang ke kampung halaman mematuhi peraturan jalan raya supaya selamat sampai ke destinasi. Saya bercadang meneruskan program ini pada masa akan datang sekiranya ada keperluan.
“Ia dalam usaha untuk meringankan beban kos sara hidup mereka sendiri. Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri,” kata Ahmad Fauzi kepada pemberita.
Beliau menyatakan demikian dalam Program Jom Balik Kampung, Petrol Percuma Untuk Penunggang Motosikal di sini hari ini. Yang turut hadir isterinya, Datin Natila Ahmad. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA