MACAM-MACAM kerenah netizen menerusi laman sosial yang ada segelintirnya menggunakan medium itu untuk meluahkan perasaan dan tidak kurang juga mempamerkan bakat terpendam.
Terbaharu, seorang pengguna akaun Twitter yang menggunakan nama Akem Aiman memuat naik videonya memaparkan aksi dirinya berpantun secara spontan dengan tema tajuk pantun turun temurun.
“Selamat pagi, serangkap pantun untuk dikongsi. Belum berpantun sudah berpantun.
“Anak anjing berlumba lari, berlumba lari melintas titi, setahun ada 365 hari, tak kan puasa 30 hari dah nak mati…ho..ho, itu sahaja,” katanya.
Lebih melucukan apabila Aiman yang mengenakan pakaian formal iaitu kot, tali leher dan kemeja putih itu menggunakan intonasi seperti seorang pengulas sukan bola sepak dan pembaca berita.
Perkongsian video berdurasi 15 saat itu menjadi tular menerusi laman Twitter sehingga mendapat 20,108 retweets.
Netizen menganggap pantun tersebut sebagai lucu namun terselit sindiran kepada umat Islam yang kini sedang menjalani ibadah puasa.
“Semakin semangat nak puasa hoho,” tulis @izzatnais.
Namun, pemerhatian mendapati perkongsian Aiman ini membuatkan dirinya menjadi trending di laman Twitter semalam.
Trendsmap Singapore dalam laman Twitter memuat naik gambar Aiman dengan video pantun turun temurun bertemakan puasa itu menjadi trending di Singapura. – MYNEWSHUB.CC