SHAH ALAM – Gara-gara memberi suapan RM50 kepada seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal, seorang pemotong rumput warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Saleem, 36, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.
Saleem didakwa memberi suapan wang tunai itu kepada anggota polis dari Bahagian Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang Lans Koperal A. Thurenthiran Nair, sebagai dorongan untuk tidak menyamannya kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menunggang motosikal tanpa lesen.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan perindustrian Balakong, Kajang dekat sini, kira-kira 6.30 petang pada 7 Jun lepas.
Saleem sebelum itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan asal mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, iaitu didakwa memberi suapan wang tunai RM50 kepada A. Thurenthiran Nair sebagai dorongan untuk tidak menyamannya kerana tidak memiliki lesen memandu, di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Hazirah Azeman yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh.
Bagaimanapun Saleem yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan dia berada di Malaysia sejak empat tahun lepas untuk mencari rezeki dan perlu menyara isteri serta tiga anak di Pakistan. – BERNAMA