KUALA LUMPUR – DAP yang mengetuai Pakatan Harapan mengingatkan semua pihak bahawa Malaysia bukan negara sesebuah kaum atau agama.
Penasihatnya, Lim Kit Siang sebaliknya menegaskan, Malaysia adalah negara pelbagai kaum, agama dan budaya.
“Malaysia sebagai ‘Instant Asia’ tidak seharusnya hanya menjadi seri bagi pelancong datang ke Malaysia.
“Malaysia akan musnah jika negara ini terus membenarkan suara ekstremisme, sikap tidak bertoleransi dan mengekang kebebasan yang sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Kit Siang menyeru seluruh rakyat Malaysia yang patriotik dan `moderate’ bersatu menyelamatkan Malaysia daripada perpecahan kerana agama dan kaum.
Beliau turut memaklumkan pemimpin Pakatan Harapan daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang melawat `pasar’-pasar’ Ramadan.
Menurut beliau, mereka sedang menyebarkan mesej kepada orang ramai yang majoritinya beragama Islam di situ supaya bersikap toleransi dan memahami tentang kaum dan agama lain.
“Ini adalah cara terbaik untuk menentang kejahatan yang mahu Malaysia dipisahkan daripada segi agama dan kaum,” katanya. – MYNEWSHUB.CC