LIMBANG – Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw ketika melakukan lawatan kerja ke Pos Ba’Kelalan di sini sempat berbincang dengan Mayor Jenderal TNI Sonhadji, Pandam VI/Mulawarman (MLW) berkaitan soal keselamatan di sempadan.
Antara yang dibincangkan ialah usaha untuk mengeratkan hubungan bersama tentera Malaysia dan Indonesia dalam memastikan keselamatan di sempadan sentiasa terjamin.
Stephen berkata keadaaan keselamatan di sempadan adalah terkawal dan dalam keadaan baik menjelang Aidilfitri ini.
Terdahulu, Stephen mengadakan lawatan ke Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) di Pos Ba’Kelalan bagi meninjau dan melihat pelaksanaan operasi serta menyampaikan sumbangan kuih raya daripada kerajaan negeri kepada anggota tentera di kawasan operasi itu.
Turut hadir sepanjang lawatan itu ialah Panglima Briged ke-9 Infantri Malaysia Brigadier Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa. – BERNAMA