MELAKA – Mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Tehel, Jasin, dekat sini, kekal 42 orang daripada 11 keluarga setakat 8 pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Melaka, Lt. Kol (PA) Effendy Ali dalam kenyataan berkata situasi banjir di Kampung Tanjung Laboh dan Kampung Parit Lampong di daerah itu tidak banyak berubah berbanding malam tadi.
Beliau, yang Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, berkata walaupun cuaca cerah pagi ini namun pihaknya akan terus memantau keadaan banjir berikutan ramalan hujan lebat dijangka sehingga lewat malam ini.
Katanya, banjir berlaku disebabkan air sungai di beberapa kawasan melimpah akibat hujan lebat pada Isnin lepas. – BERNAMA