SEREMBAN – Rakyat di negeri ini boleh mendapatkan bekalan daging dan ayam dengan harga yang murah daripada pasaran untuk persiapan menyambut Aidilfitri bermula esok menerusi program Mantai Perdana.
“Kerajaan masih lagi mampu menawarkan harga yang terbaik kepada masyarakat. Program ini bertujuan untuk kita meringankan bebanan rakyat dalam membuat persiapan hari raya,” kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini.
Mantai Perdana yang memasuki tahun ke-10 penganjurannya bermatlamat untuk membantu kumpulan kurang berkemampuan serta orang kurang upaya (OKU) mendapatkan bekalan daging dengan harga murah.
Ia akan bermula pukul 5 petang esok di kawasan lapang berhampiran Masjid At-Taqwa, Paroi dengan menawarkan harga RM28 sekilogram daging lembu, RM26 sekilogram bagi tulang selangka, tulang (RM20), organ dalaman seperti hati dan limpa (RM26), ayam segar (RM6.70 sekilogram), ayam pencen (RM7), daging kerbau (RM35 sekilogram) dan telur ayam gred A (RM9).
Sebanyak 200 ekor lembu akan dijual pada program mantai itu, kata Mohamad. – BERNAMA