MARANG – Taktik seorang mekanik yang cuba menjadikan bengkel kereta sebagai lokasi untuk menjual mercun berjaya dikesan polis selepas kira-kira dua jam mengambil stok bahan larangan itu.
Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Suhaimi Ali berkata suspek berusia 43 tahun itu menggunakan bengkel di Bukit Payung bagi mengaburi mata pihak berkuasa, ditahan kira-kira 3.30 pagi semalam .
“Dua jam sebelum ditahan suspek dipercayai baru sahaja selesai mengambil stok dua guni mercun bernilai kira-kira RM4,000 dari Kuala Terengganu… belum sempat buka, jual dan nikmati hasil jualan,” katanya dalam sidang media,di sini, hari ini.
Katanya lelaki itu tidak mempuyai rekod lampau dan saringan air kencing juga negatif dan menurutnya mercun itu dipercayai untuk pasaran di sekitar Kuala Terengganu dan Marang.
Beliau berkata rampasan mercun itu merupakan yang pertama di daerah Marang setakat ini dan berharap ibu bapa dapat memantau anak mereka supaya tidak bermain mercun bagi mengelak sebarang kecederaan. – BERNAMA