BEIRUT – Kumpulan militan Daesh hari ini mendakwa bertanggungjawab menikam sehingga mati seorang polis Israel di luar Kota Lama Baitulmaqdis.
Menurut laporan, ia adalah kali pertama kumpulan pelampau mengaku bertanggungjawab ke atas serangan di Israel.
Militan itu dalam satu kenyataan berkata, tiga penyerang Daesh menyasarkan sebuah perhimpunan Yahudi dalam operasi semalam.
Tiga penyerang itu dibunuh polis Israel.
Kumpulan itu memberi amaran serangan berkenaan bukan yang terakhir.
Polis wanita yang ditikam itu cedera parah dan meninggal dunia di hospital. Beliau dikenal pasti sebagai Sarjan Mejar Hadas Malka, 23.
Kejadian berlaku pada Jumaat minggu ketiga Ramadan ketika puluhan ribu rakyat Palestin dari timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat menunaikan solat di perkarangan masjid Al-Aqsa. – AFP/myMetro Online