PUTRAJAYA – Tindakan juruterbang Air Asia X D7237 meminta penumpang berdoa ketika buat keputusan berpatah balik ke Perth akibat masalah teknikal bukan sahaja tidak melanggar etika.
Malahan ia disifatkan sebagai profesional kerana berkeyakinan walaupun mengalami situasi panik, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.
Beliau menambah, mengikut prosedur operasi standard (SOP) apabila berlaku kecemasan, juruterbang terbabit perlu memberi penerangan secara jelas kepada penumpang apa yang berlaku ketika itu dan perancangan seterusnya.
“Dalam situasi itu, juruterbang tidak bersalah atau langgar etika penerbangan apabila meminta penumpang baca doa bahkan dalam setiap agama masing-masing digesa untuk memohon doa sekiranya berlaku sesuatu insiden.
“Berdoa adalah untuk meminta perlindungan daripada Allah. Penumpang boleh doa mengikut kepercayaan masing-masing, ia langsung tidak salah jika juruterbang itu meminta berdoa untuk kebaikan dan keselamatan penerbangan.
“Malah ada syarikat, bacaan doa langsung menjadi amalan rutin sebelum pesawat berlepas,” jelas Azharuddin yang pernah dilantik sebagai Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Beliau berkata demikian sebagai memberi penjelasan mengenai tindakan juruterbang Air Asia X D7237 berkenaan pada Ahad lalu, Kapten Ibrahim Jalaluddin dalam soal berdoa yang dipertikaikan oleh segelintir individu.
Pesawat itu yang berlepas dari Perth ke Kuala Lumpur kira-kira 7 pagi waktu tempatan terpaksa berpatah balik ketika berada dekat perairan Carnarvon, Australia berikutan masalah teknikal dan Ibrahim dilaporkan meminta penumpang berdoa.
Bagaimanapun, tindakan itu dipertikaikan oleh ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim menerusi catatan Twitternya yang seolah-olah tidak merestui perbuatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Azharuddin berkata, tindakan juruterbang berkenaan adalah tepat dan sangat profesional dengan memberi penerangan kepada penumpang kenapa beliau perlu berpatah balik ke Perth.
“Beliau tidak boleh cakap banyak kerana perlu fokus kendalikan pesawat supaya selamat tetapi juruterbang itu sangat profesional apabila bertindak menjelaskan keadaan sebenar kepada penumpang dan keputusan yang dilakukan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Azharuddin menyifatkan juruterbang berkenaan sebagai seorang yang berkeyakinan dalam menguruskan situasi cemas tersebut tanpa memberikan satu pandangan yang menakutkan kepada penumpang. – MYNEWSHUB.CC