BAKAT kelahiran program realiti Mentor Milenia 2016, Qody menghilangkan diri dari dunia hiburan berpunca akibat Sindrom Gullain-Barre (SGB) iaitu kebas di seluruh bahagian muka.
Menurut Qody atau nama sebenarnya Rossaidi Abdul Rani, 22, penyakit nadir itu menyebabkan dia tidak dapat merasai sebarang pergerakan pada wajah dan ia juga menjejaskan suaranya.
“Pada Februari lalu, saya mengalami sakit yang pelik iaitu SGB dan ia menyebabkan saya hampir berputus asa.
“Saya terlantar lebih kurang dua bulan dan tidak dapat merasa apa-apa di bahagian muka, tidak boleh senyum dan kebas di seluruh muka.
“Bukan itu sahaja, suara saya juga menjadi sengau dan tidak boleh keluar,” katanya kepada mStar Online.
Tambah pelantun lagu Biar Aku ini, pada awalnya dijangkiti demam selama dua minggu dan badannya mula berasa kebas sehingga menyebabkan dia tidak mampu untuk membuka mulut.
Kemudian Qody dimasukkan ke Pusat Rawatan Saraf Islam di Jitra, Kedah selepas beberapa kali mendapatkan rawatan dari tempat lain. – MYNEWSHUB.CC