KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anggota Majlis Tertinggi UMNO, pemimpin veteran serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.
Presiden UMNO itu disertai isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketua-ketua sayap UMNO dan beberapa pemimpin kanan UMNO dan BN.
Najib turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penghuni rumah anak yatim dari Sabak Bernam, Selangor dan Kuala Lumpur yang turut diraikan pada majlis berbuka puasa itu.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang berakhir kira-kira 5.30 petang disusuli sidang media.
Selesai berbuka puasa, Najib dan jemaah lain menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih. – BERNAMA