GEORGE TOWN – Meskipun pernah terpalit dengan isu perebutan waris selain kes penutupan premis akibat masalah kebersihan, namun Restoran Nasi Kandar Line Clear tetap unggul.
Terbaharu kedai makanan mamak popular beroperasi 24 jam di ibu negeri Pulau Pinang itu mengharumkan nama Malaysia apabila disenaraikan menduduki tempat kesembilan daripada 50 makanan paling sedap di dunia.
Pemilihan nasi kandar di restoran itu oleh panel The World Streets Food Congress 2017 yang berlangsung di Manila, Filipina dari 31 Mei hingga 4 Jun lalu malah cukup mengejutkan pengusahanya sendiri, Abdul Kader Zainul Abidin.
“Pengiktirafan ini menjadi kebanggaan buat seluruh keluarga,” kata beliau ketika ditemui media di Jalan Penang, di sini. Bahkan Abdul Kader berkata, jika sebelum ini pelbagai dugaan dan tamparan melanda restoran tersebut.
Ini termasuk premis berkenaan pernah ditutup selama beberapa hari kerana faktor kebersihan, namun insiden ‘hitam’ tersebut sedikitpun tidak melemahkan semangat restoran itu untuk memperbaiki segala kelemahan.
Ujar Abdul Kader, segala-galanya terbukti apabila Restoran Nasi Kandar Line Clear yang beroperasi di lorong kecil berdekatan dengan Lebuh Chulia dan sejak dibuka pada 1930 itu, akhirnya berjaya membuka mata dunia.
“Kini usia Line Clear sudah mencecah 87 tahun dan ia terus kekal sehingga ke hari ini dengan keenakan kari kepala ikan, ayam goreng masala dan udang sambal yang masih lagi terus mengekalkan resipi turun-menurun keluarga.
“Pengiktirafan ini cukup membanggakan kami sekeluarga dan sudah menjadi tanggungjawab kami pula untuk terus menjaga kualiti makanan termasuk aspek kebersihan serta keselesaan para pelanggan sejak dahulu lagi.
“Inilah keutamaan Restoran Nasi Kandar Line Clear dan perhargaan ini ingin diberikan kepada Tourism Malaysia, kerajaan negeri, pihak media cetak dan elektronik, blogger dan sebagainya,” katanya ketika ditemui, semalam.
Abdul Kader berkata, dia bersyukur kepada Allah kerana pelanggan masih mempercayai ‘jenama’ Line Clear dan terus dikunjungi pelanggan tempatan, luar negara serta selebriti terkenal tanah air. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA