JOHOR BAHRU – Seorang pemandu bas ekspres dan tujuh penumpangnya termasuk tiga rakyat asing cedera apabila bas ekspres itu merempuh belakang treler di KM144.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Pagoh, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata kemalangan membabitkan bas ekspres dari Singapura menuju Kuala Lumpur dengan membawa 24 penumpang itu berlaku kira-kira 10.45 malam.
“Pemandu bas terbabit yang berumur 41 tahun, mengalami patah kaki kanan. Kesemua tujuh penumpang iaitu empat rakyat tempatan dan masing-masing seorang rakyat Singapura, United Kingdom dan Pakistan berumur 29 hingga 37 tahun pula mengalami cedera di beberapa bahagian termasuk luka di kaki, tangan, muka dan kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila bas ekspres berkenaan hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang treler yang membawa jengkaut.
Beliau berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan manakala baki penumpang yang tidak cedera difahamkan sudah dibawa ke destinasi dengan menaiki bas lain pada malam tadi juga.
“Cuaca semasa kemalangan dilaporkan baik dan permukaan jalan juga kering selain keadaan lalu lintas yang tidak sibuk,” katanya. – BERNAMA