MIRI – Seorang pemandu lori maut setelah kenderaan dipandunya terjatuh ke dalam gaung ketika melalui jalan kayu balak di Jalan Mendamit, Kampung Kuala Mendalam di Limbang petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang Tawang Lingem berkata, dalam kemalangan pada kira-kira 6 petang itu, mangsa George Inau, 43, sedang dalam perjalanan hendak mengambil batu.
“Ketika kejadian lori tersebut tidak membawa sebarang muatan dan mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba ke lokasi,”katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya, pihaknya menerima panggilan pada 6.30 petang dan sampai ke lokasi kejadian pada 8.50 malam kerana terpaksa melalui jalan balak.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan dan pasukan bomba kembali ke balai pukul 11.07 malam,”katanya. – BERNAMA