BUTTERWORTH – Polis menahan seorang penagih dadah dipercayai terlibat dalam beberapa kes curi motosikal di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah SPT ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan ketika sedang menunggang motosikal curi menggunakan nombor pendaftaran palsu di Jalan Kampung Manis, Perai kira-kira pukul 10.45 pagi.
“Siasatan mendapai lelaki yang tidak bekerja tersebut mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah,” katanya di sini hari ini.
Katanya ujian air kencing juga mendapati lelaki itu positif dadah dan dia kini direman empat hari untuk siasatan.
Nik Ros Azhan berkata polis turut menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di Jalan Permatang Rawa dekat sini, pada 2.30 petang Selasa kerana terlibat dalam kes curi motosikal dan susulan penahanan itu polis turut menemukan komponen motosikal yang telah dileraikan.
Suspek kini direman empat hari untuk siasatan, katanya. – BERNAMA