PETALING JAYA: Buat para peniaga, khususnya yang berniaga di bazar Ramadan, Ustaz Syamsul Debat ada sedikit nasihat.
Ustaz Syamsul Debat atau nama sebenarnya Syamsul Amri Ismail berkata setiap peniaga perlu amanah dalam perniagaan yang dijalankan, bukan menindas, menganiaya atau menipu pelanggan.
“Kita kata makanan kita sedap, terbaik, karipap kita kalau makan boleh terbang, makanan kita jual ‘antarabangsa’ dan macam-macam lagi.
“Bila kita sebut nama-nama yang istimewa, itu maknanya kita menjanjikan kualiti, tapi bila orang rasa tertipu, di mana keberkatan rezeki kita?,” katanya kepada mStar Online.
“Bulan Ramadan ni bulan keberkatan, bulan ikhlas, janganlah kita ganggu keikhlasan orang, orang tu ikhlas membeli, mungkin dia kesian, nak tolong sesama Islam, tapi keikhlasan tu kita balas dengan bagi barang yang tak baik.
“Bila menindas, itu bukan sunnah Nabi, sunnah Nabi tak tipu orang,” katanya.
Malah, beliau juga mengingatkan para peniaga bahawa hukum menipu atau menganiaya pelanggan adalah berdosa.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa tidak semua peniaga yang didakwa menipu pelanggan itu benar-benar berniat seperti itu.
Jelasnya, ada peniaga yang sudah buat yang terbaik untuk makanan yang sedia dijual, tetapi tidak sedar bahawa makanannya itu kurang berkualiti atau kurang sedap.
“Kalau memang dah buat sedap, terbaik, kita rasa sedap dah…bila orang datang beli rasa tak sedap, itu lainlah.
“Yang saya cakap ni peniaga yang memang tahu makanan tu tak sedap tapi tetap jual, dah tahu makanan tu semalam punya, jual juga sebab tak mahu rugi,” katanya.
Dalam hal ini beliau memberi cadangan supaya peniaga lebih bertanggungjawab dengan memulangkan wang jika didatangi semula pelanggan yang mendakwa mereka teraniaya, atas dasar kepercayaan.
Jelasnya mengikut hukum bayaran balik tidak wajib dilakukan apabila berlaku situasi seperti ini kerana akad jual dan beli telah dibuat antara pembeli dan peniaga.
“Tak wajib bayar balik kalau sudah ada akad jual dan beli.
“Tapi atas dasar kepercayaan dan tanggungjawab mungkin mereka boleh pulangkan wang atau beri makanan lain kepada pelanggan itu sebagai ganti,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan pelanggan supaya membeli dengan bijak, terutama pada bulan puasa. – mStar Online