KOTA BHARU – Seorang pengusaha perkhidmatan salun dan spa Muslimah, Yusmaria Zawawi, 31, memanfaatkan sepenuhnya kemudahan capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi untuk melonjakkan perniagaannya.
Walaupun menjalankan perniagaan di Bukit Bunga, Tanah Merah yang dianggap kawasan luar bandar, ia tidak menghalang usahanya untuk mencari pelanggan dengan adanya kemudahan perniagaan digital.
Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) merupakan projek kerajaan dan inisiatif Surhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyediakan perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan perhidmatan Wi-Fi.
“Saya memulakan perniagaan ini sejak awal Januari lalu dan kini menerima kehadiran 10 hingga 15 pelanggan setiap hari,” katanya kepada Bernama.
Beliau memperoleh geran RM10,000 daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui program eUsahawan untuk memulakan perniagaan itu.
Yusmaria, yang tinggal di Ayer Lanas, Jeli, berkata PI1M menyediakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkini seperti komputer dan perisian, perkhidmatan faks, pencetak, program latihan ICT dan pembangunan modal insan.
“Premis saya terletak bersebelahan dengan PI1M di Bukit Bunga. Saya menggunakan kemudahan di pusat ini yang menyediakan capaian internet yang laju untuk mempromosikan perniagaan secara dalam talian dan ia amat berkesan,” katanya.
Beliau kini merancang memperluas perniagaannya kepada penjualan produk kecantikan khusus untuk kegunaan wanita Islam.
Yusmaria adalah antara ribuan pengguna PI1M di Kelantan yang setakat ini mempunyai 69 pusat Internet seumpama itu.
Jajahan Gua Musang mempunyai PI1M paling banyak iaitu 12 diikuti Tanah Merah (8), Bachok (8), Kuala Krai (7), Jeli (7), Kota Bharu (7), Pasir Puteh (6) Tumpat (5), Pasir Mas (5), dan Machang (4).
PI1M diwujudkan kerajaan bagi memastikan komuniti luar bandar meningkatkan taraf sosial dan ekonomi, mendapat kebaikan daripada peralatan IT dan penyambungan Internet.
Ketika merasmikan PI1M Kampung Kalai, Jeli baru-baru ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari mahu rakyat memanfaatkan sepenuhnya kewujudan 600 PI1M di seluruh negara untuk memudahkan urusan harian serta menjana pendapatan melalui peniagaan digital.
Penggunaan pusat Internet itu adalah terbuka kepada semua orang dan penggunaannya adalah percuma kepada warga emas, pelajar sekolah dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Jailani mengingatkan masyarakat agar menggunakan kemudahan yang disediakan itu secara bijak dan bermanfaat dan bukan untuk menyebarkan fitnah.
Kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 800 PI1M menjelang 2020 untuk faedah rakyat secara lebih meluas terutama penduduk luar bandar. – BERNAMA