JAKARTA – Polis Bali meneruskan usaha memburu empat banduan warga asing termasuk seorang rakyat Malaysia yang dipercayai melarikan diri dengan membuat terowong bawah tanah di sebuah sel di Penjara Kerobokan di pulau peranginan itu pagi semalam.
Banduan rakyat Malaysia itu dikenali sebagai Tee Kok King, 50, yang sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun enam bulan atas kesalahan pengedaran dadah.
Dia yang dipenjarakan sejak September 2016 beralamat terakhir di Jalan Danau 14, Taman Desa Jaya, Johor Bahru, Johor.
Tiga lagi banduan terbabit ialah warga Australia Shaun Edward Davidson, 33; Dimitar Nikolov Iliev, 43 dari Bulgaria dan rakyat India Sayed Mohammed Said, 31.
Kehilangan keempat-empat banduan itu hanya disedari selepas mereka gagal hadir dalam perbarisan pagi.
Media dalam talian memetik Ketua Polis Residen Badung, Yudith Satriya Hananta sebagai berkata polis hari ini menggunakan perkhidmatan pasukan penyelam untuk memasuki terowong kecil yang dipercayai digali oleh banduan-banduan terbabit di dalam sel mereka.
Bagaimanapun pasukan terbabit belum dapat memasuki terowong berukuran 60 sentimeter lebar dan 15 meter panjang itu berikutan ia dipenuhi air dan lumpur setelah hujan lebat.
Yudith Satriya berkata pihaknya juga belum dapat mengesahkan sama ada banduan terbabit berjaya lolos atau terperangkap di dalam terowong sempit yang dipenuhi air serta lumpur berkenaan. – BERNAMA