PASIR PUTEH – Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubur merampas 1,210 kotak mercun dan bunga api bernilai RM30,000 dalam serbuan di sebuah rumah kosong di Kampung Chenggal Batu di sini, semalam.
Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubur, ASP Ahmad Amri Abd Rahman berkata dalam serbuan pada jam 5 petang itu, pihaknya menemui 18 jenis bahan letupan yang diharamkan idalam rumah terbabit, yang dijadikan stor.
“Mercun dan bunga api itu dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar Pasir Puteh sempena sambutan Aidilfitri hujung bulan ini,” katanya kepada pemberita di Pejabat PPM Tok Bali di sini, hari ini.
Ahmad Amri berkata pihaknya mendapati sindiket penyeludupan mercun dan bunga api kini menggunakan laluan laut untuk menyeludup bahan larangan itu ke negeri ini.
“Sebelum ini penyeludup menggunakan laluan darat dengan menyeberangi Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan,” katanya.
Katanya, kes itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk tindakan lanjut. – BERNAMA