PORT DICKSON – Program Ziarah Kasih Ramadan, sebuah program bagi membantu golongan memerlukan termasuk kumpulan asnaf fakir dan miskin tanpa mengira ideologi politik, menelan belanja keseluruhan berjumlah RM20.2 juta.
Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata program anjuran Yayasan Tabung Haji dengan kerjasama Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO itu akan memberikan bantuan di 67 kawasan Parlimen terpilih di seluruh negara.
“Di Parlimen Teluk Kemang hari ini adalah Parlimen yang ke-48 kita anjurkan program Ziarah Kasih Ramadan yang merupakan usaha kita selari dengan apa yang dikehendaki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu (program) jom bantu rakyat.
“Sebanyak RM300,000 telah kita agihkan hari ini kepada 1,000 penerima dengan setiap seorang daripadanya menerima RM300 bagi meringankan beban mereka pada Ramadan dan juga Aidilfitri yang bakal menjelma,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih Ramadan Al Mubarak peringkat Parlimen Teluk Kemang yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang yang juga Anggota Parlimen Jempol Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Mengulas lanjut, Abdul Azeez yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO dan Anggota Parlimen Baling berkata kesemua RM20.2 juta peruntukan itu adalah daripada Yayasan Tabung Haji sebanyak RM7 juta dan UMNO serta kerajaan pusat sebanyak RM13.2 juta.
Katanya, terdapat dua kategori penerima sumbangan pada program itu iaitu golongan asnaf fakir dan miskin serta mereka yang ‘memerlukan’.
“Ada dua kategori bantuan iaitu 50 peratus kita beri kepada golongan asnaf fakir dan miskin manakala 50 peratus lagi adalah sumbangan UMNO pusat kepada mereka yang memerlukan bantuan contohnya ada juga guru-guru atau orang yang bekerja dengan kerajaan tetapi dia ini ibu tunggal dan ada anak tujuh orang, gaji tak mencukupi (untuk menyara kehidupan), jadi mereka layak terima sumbangan.
“(Bagaimana pun) pemilihan dibuat oleh pihak jawatankuasa masjid di seluruh negara dengan kerjasama UMNO dan Tabung Haji di kawasan berkenaan untuk mendapatkan nama-nama mereka yang perlu dibantu dan kita agihkan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik,” katanya.
Abdul Azeez berkata kesemua 67 kawasan Parlimen yang terpilih itu perlu dihabiskan dalam Ramadan, yang kini memasuki minggu terakhirnya.
“Saya kena habiskan dalam Ramadan dan saya kena berhenti pada petang 24 hari bulan (Jun)…sehari sebelum raya,” katanya.
Bagi memastikan kesemua 67 kawasan Parlimen itu dapat dibantu, beliau berkata pihaknya perlu turun padang menjelajah sekurang-kurangnya tiga hingga lima Parlimen sehari. – BERNAMA