PROTON Holding (Proton) tetap gagal menonjol walaupun telah diberi suntikan pinjaman tunai mudah RM1.5 bilion. Ini angka yang menyakitkan hati rakyat, terutama pembayar cukai. Tiga dekad berada dalam industri, Proton masih tidak mampu berdikari, malah kekal dengan sikap meminta-minta.
Malah, ada suara entah dari banat mana; merungut kononnya Kerajaan tidak memberikan bantuan penuh seperti dijanjikan. Suara rengekan ini membuatkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustafa Mohammed terpaksa segera menjelaskan: Bahawa baki RM250 juta akan dibayar segera berserta Dana Geran Penyelidikan yang dijanjikan.
Isunya sekarang: Apakah kalau Kerajaan terus memberi dan memberi, ada jaminan Proton akan sukses? Apakah masalah totok Proton ialah aliran tunai?
Kalau sudah lebih RM1 bilion dibantu, dan Proton terus kekal tenat: Tidakkah timbul isu ketidakcekapan pengurusan sedia ada?
Apakah tidak ada yang berani menyentuh isu pasukan pengurusan sekarang? Tidak ada yang berani mengatakan isu pengurusan turut menyumbang sebagai faktor utama Proton tidak kompetitif?
Isu Proton asyik minta duit dan duit terasa sangat menjelakkan hati rakyat. Sangat menjengkelkan. Lebih pelik, ada pihak yang cuba memberikan persepsi: Kerajaan tidak bermati-matian membantu Proton.
Tapi logiknya: Sebagai pemain industri mega dan sudah berusia 33 tahun, wajarkah Proton mahu terus hidup hanya dengan ehsan Kerajaan?
RM1.5 bilion bukan RM1.50 sen. Ia angka besar. Kalau dibalikkan kepada rakyat, ia mampu membina ribuan rumah PPRT Luar Bandar pada kos RM25 ribu ke RM30 ribu seunit.
Malah, mampu menyelesaikan projek Perumahan PR1MA yang diharapkan rakyat terutama anak muda. Malah, rakyat pun jadi marah kerana angka pinjaman tunai mudah ini diberikan ketika keadaan ekonomi negara sedang struggle.
Kalau berdasarkan maklumat sebelum ini, 1 Julai ini, Geely Automobile (Geely) akan mengesahkan penguasaan 49.9 peratus pegangan dalam Proton. Moga Geely mereformasikan pengurusan Proton.
Pelaburan untuk pembaharuan mesti dengan pakej reformasi kumpulan pengurusan. Dana baharu mesti sinergi dengan idea pengurusan yang kompetitif.
Geely tidak mungkin boleh bergantung pada pengurusan sedia ada, ketika prestasi mereka selama ini telah meletakkan Proton dalam keadaan genting.
Lupakan soal pengurusan tempatan. Terlalu banyak sentimen anak tempatan ada kalanya tidak sihat. Ia melingkupkan kita!
MAS sudah melakukannya. Banyak GLC lain turut berani melaksanakannya. Ini soal menyelamatkan wang awam dalam konteks menyelamatkan pulangan pinjaman tunai mudah. Juga menjadikan geran R&D juga berbaloi.
Jadi kita kena terbuka dalam isu pasukan pengurusan. Kerajaan mungkin tidak mahu campur tangan. Tetapi rakyat kena bersuara. Sekurang-kurangnya kerana sentimen Proton kononnya jenama nasional. -MYNEWSHUB.CC