WASHINGTON – Penuntut Amerika Syarikat (AS) yang ditahan di Korea Utara atas tuduhan mencuri dibebaskan dalam keadaan koma.
Setiusaha Negara Amerika Syarikat berkata, Otto Warmbier yang berusia 22 tahun itu kini dalam perjalanan pulang ke AS, lapor AFP.
Keadaan Warmbier yang koma selepas perbicaraan pada Mac tahun lalu hanya diketahui oleh ahli keluarganya minggu lalu.
Warmbier dijatuhi hukuman 15 tahun kerja keras kerana dituduh cuba mencuri tanda propaganda di sebuah hotel pada 2 Januari 2016.
Dia yang juga merupakan penuntut jurusan ekonomi University of Virginia datang ke Korea Utara sebagai pelancong dengan Young Pioneer Tour.
Sementara itu, ibu bapa Warmbier dalam satu kenyataan berkata, anaknya telah meninggalkan Korea Utara dengan menaiki pesawat khas lengkap bantuan perubatan.
“Sedihnya, dia koma dan dia dalam keadaan begitu sejak Mac tahun lalu,” kata mereka.
Warmbier dalam satu sidang media sebulan selepas ditahan, sambil mengalirkan air mata dia mengaku cuba mengambil papan tanda untuk gereja di AS dengan tujuan untuk menjejaskan motivasi dan etika kerja penduduk Korea Utara. – MYNEWSHUB.CC