MENTERI Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Anwar Gargash mengumumkan senarai 13 tuntutan dalam usaha beberapa negara Teluk dan Mesir menamatkan pemulauan terhadap Qatar.
Tuntutan berkenaan termasuk mahu Doha segera berhenti menyokong kumpulan pengganas, lapor portal berita berpengaruh, Al Arabiya.
Gargash memberitahu akhbar Al-Hayat, jika Qatar ingin memulihkan hubungan, negara itu mesti akur dengan keputusan Gulf Cooperation Council.
Selain itu, Qatar juga perlu berhenti dalam usaha penyaluran bantuan kewangan kepada pelampau dan pergerakan pengganas di Syria dan Libya.
Turut disenaraikan ialah penutupan stesen penyiaran antarabangsa AlJazeera milik negara itu dan mengurangkan hubungan dengan rejim Iran.
Juga menuntut penutupan pangkalan tentera Turki di Qatar. Doha diberi tempoh selama 10 hari dan notis tuntutan itu diserahkan Kuwait sebagai orang tengah.
Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad dilihat tidak lagi menjalankan polisi ayahandanya yang menandatangani perjanjian Riyadh pada 2014 lalu.
Ini terutama selepas beliau dimalukan dengan kewujudan pita yang memaparkan rancangan Gaddafi untuk membunuh Raja Abdullah bin Abdulaziz.
Gargash turut mempersoalkan pertukaran tawanan oleh Qatar di Iraq dan Syria yang dikatakan dibalas dengan jumlah wang yang banyak.
“Jika Qatar terus memegang pada polisi sekarang, ‘perceraian’ akan berlaku walaupun lapangan terbangnya dibuka kepada dunia,” katanya. – Alarabia.net/myMetro Online