SHAH ALAM – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyampaikan wang sumbangan Aidilfitri kepada 2,243 anak yatim dari daerah Klang dan Petaling.
Wang bantuan berjumlah RM224,300 itu merupakan sumbangan oleh Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Pada majlis berkenaan, Tengku Amir Shah yang mewakili YIDE turut berkenan menerima sebidang tanah seluas 0.76 hektar di Pulau Indah, dekat sini untuk didirikan sebuah rumah kebajikan anak yatim.
Pengerusi YIDE, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan berkata majlis pecah tanah rumah kebajikan anak yatim itu dijadualkan berlangsung pada Januari tahun depan.
“YIDE dan pewakaf turut mencapai kata sepakat untuk menamakan rumah berkenaan Rumah Kebajikan Anak Yatim Tengku Amir Shah sekiranya ia mendapat perkenan baginda Raja Muda Selangor,” katanya.
Pada majlis berkenaan juga, Tengku Amir Shah turut berkenan menunaikan solat zuhur bersama rakyat yang hadir pada majlis berkenaan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini. – BERNAMA