ARAB Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir menyuarakan syarat aneh pada akhir Ramadan dalam menyelesaikan konflik diplomatik dengan Qatar yang mencemarkan Ramadan tahun ini.
13 tuntutan yang disampaikan melalui Kuwait yang menjadi orang tengah dalam penyelesaian krisis ini pasti akan ditolak Qatar. Antara syarat yang paling teruk ialah mendesak Qatar menamatkan sokongan pada Daesh dan Al Qaeda.
Persoalannya: Apakah Qatar menyokong Daesh dan Al Qaeda?
Apakah Riyadh sedar permintaan itu sekiranya diterima Doha akan menjadikan Qatar seperti mengakui selama ini ia sebuah negara teroris?
Selain Daesh dan Al Qaeda, Qatar diminta menamatkan sokongan pada Ikhwanul Muslimin di Mesir, Hezbollah di Lubnan. Namun, tidak menyenaraikan Hamas di Palestin sebagai senarai hitam
Secara moralnya: Apakah Qatar akan menerima syarat yang bersifat melemparkan tuduhan Doha menyokong keganasan?
Sekiranya Qatar bersetuju: Apakah ini bermakna Qatar mengakui Doha memang menyokong pengganas selama ini?
Paling membingungkan dan anti demokrasi ialah syarat: Qatar juga mesti menutup rangkaian televisyen Al Jazeera.
Senarai tuntutan aneh ini gambaran politik tidak matang Riyadh.
Selain diburukkan lagi dengan syarat memaksa Qatar memutuskan hubungan diplomatik dengan Turki dan Iran. Malah, mendesak Doha menutup pangkalan tentera Turki di Qatar.
Ini bukan syarat! Ini tindakan cuba memalukan Qatar di mata dunia.
Reaksi Qatar boleh dijangka. Doha tidak akan menerima syarat pelik yang diketuai Arab Saudi. Malah, tindakan Riyadh pula, jelas satu trend politik baharu iaitu memcampuri polisi hubungan luar negara lain. Ini syarat penuh penghinaan.
Arab Saudi langsung tidak menghormati maruah Qatar sebagai negara merdeka apabila memaksa Doha memutuskan hubungan dengan Turki dan Iran. Kedua-dua negara tersebut adalah anggota OIC.
Apa hal Arab Saudi? Sudah macam samseng politik jadinya.
Sekiranya berjaya mendesak Qatar, apakah trend politik jahat ini akan digunakan Riyadh sebagai senjata politik baharu yang akan dikenakan ke atas negara-negara lain. Apa kejadahnya politik yang sedang dimainkan Arab Saudi!
Selain syarat penuh penghinaan ini, Arab Saudi turut cuba memalukan Qatar dengan paksaan tambahan. Dimana bubungan dengan Qatar akan dinilai secara bulanan pada tahun pertama. Secara tiga bulanan pada tahun kedua. Seterusnya secara tahunan selama 10 tahun.
Apakah Arab Saudi fikir, Qatar sebodoh dan sehina itu? Apakah niat Riyadh cuba menjadikan Qatar alat dalam meminggirkan Iran dan Turki? Kenapa Riyadh jadi fobia dengan Iran dan Turki?
Arab Saudi sejak kejatuhan harga minyak nampaknya setengah bingung dalam menentukan polisi politiknya. Arab Saudi seakan-akan mahu menjadi Godfather Politik Asia Barat yang memeras ugut Qatar.
Arab Saudi cuba menghina Qatar dalam isu Iran dan Turki. Dendam yang aneh kerana Iran pernah menegur Riyadh akan memakmurkan demokrasi. Arab Saudi bukan negara demokrasi. Justeru, ketakutan keturunan monarki Bani Saud ini boleh diduga.
Apa pula isu Turki? Takkanlah hanya kerana Ankara sangat berpengaruh dan menawarkan bantuan kepada Qatar ketika diboikot Riyadh dan sekutunya, maka Arab Saudi jadi pendendam?
Tiada yang lebih mengarut pada Ramadan tahun ini selain melihat keangkuhan Arab Saudi dalam menangani krisis politik dengan Qatar.
Syarat Riyadh seperti kemahuan samseng yang berlagak ganas tetapi dengan aksi dungu yang melucukan.
Paling jelik, Riyadh menganggap Qatar akan tunduk dan menjadi pak turut!
Kalau ini cara Arab Saudi, ia hanya membazirkan masa.
Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani sudah menegaskan: Tidak akan ada rundingan selagi Arab Saudi dan sekutunya tidak menarik balik sekatan yang dikenakan.
Jadi syarat Arab Saudi pasti pasti ditolak Qatar! – MYNEWSHUB.CC