PENYANYI Ezlynn mengakui bahawa rumahtangganya sudah retak menanti belah sejak tiga tahun lalu namun dipertahankan atas nasihat mahkamah syariah yang memintanya jalani sesi kaunseling.
Walaupun cuba untuk menyelamatkan perkahwinan berusia enam tahun mereka, hubungan Ezlynn, 35, dan suaminya Adam Fahmy, tidak dapat disatukan kembali ekoran tiada persefahaman.
“Kemelut rumah tangga kami bermula sejak tiga tahun lalu dan akhirnya saya terpaksa membawa perkara ini ke mahkamah selepas tidak nampak jalan penyelesaian.
“Kini kami mengikut saranan pihak mahkamah menjalani sesi kaunseling. Saya mengunci mulut kerana anggap ia kisah peribadi bersama suami yang tidak harus diceritakan kepada umum.
“Masih panjang sebenarnya proses ini untuk dibicarakan di mahkamah. Sejujurnya memang tiada komunikasi antara kami tetapi itu tidak bermakna kami masam muka. Lebih baik begini,” katanya.
Ezlynn memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 (5) Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal Januari lalu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga 21 November 2011 namun belum dikurniakan cahaya mata. –Â MYNEWSHUB.CC