PASIR MAS – Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas ke dalam gaung akibat tayar pecah di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, dekat Batu Karang, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, rakyat Thailand, Jehsalamae Ma-Ae, 48, dan isterinya warga tempatan, Noorashikin Berahang, 45, tercampak dari kenderaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala anak lelaki pasangan terbabit iaitu Mustaqim, 22, hanya cedera ringan.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata mangsa dalam perjalanan ke Pasir Mas dari kediaman mereka di Rantau Panjang sebelum tayar van Ford Spectron dinaiki pecah.
“Ekoran daripada itu, van yang dipandu Jehsalamae hilang kawalan sebelum terbabas dan menjunam ke dalam gaung di sebelah kanan jalan,” katanya.
Pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat dan anak mangsa mendapat rawatan sebagai pesakit luar. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan…