ALOR SETAR – Seorang pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (PROPEL) maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas lori PROPEL yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas persiaran di KM65.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mustakim Mukhtar berkata dalam kejadian 6.24 pagi itu, lori PROPEL yang dinaiki tiga pekerja berkenaan dalam perjalanan dari Gurun menghala ke Pendang sebelum bertembung dengan bas berkenaan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, bomba dapati tiga mangsa tersepit di dalam lori berkenaan. Penumpang belakang lori meninggal di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang hadapan mengalami kecederaan.
“Semua mangsa telah dibawa keluar dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemandu dan 28 penumpang bas persiaran itu tidak cedera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang DSP Fadzil Hashim mengesahkan kejadian itu dan memberitahu butiran mangsa yang maut dan cedera masih belum diperoleh. – BERNAMA