KULIM – Seorang pekerja kilang terbunuh dan tiga cedera apabila sebuah kereta dan sebuah ambulan bertembung di Jalan Kulim-Padang Serai di Kampung Permatang Tok Dik, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Supt. Ahmad Nasir Jaafar berkata mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 5.30 pagi itu dikenali sebagai Mohd. Khairul Aizat Kamaruddin, 18.
“Ketika kejadian mangsa sedang memandu kereta dari arah Kulim-Padang Serai sementara ambulan berkenaan dalam perjalanan pulang ke Hospital Kulim selepas mengambil seorang mangsa satu kemalangan lain di Taman Lagenda, Padang Serai.
“Ambulan tersebut dinaiki empat penumpang termasuk tiga kakitangan hospital yang turut cedera dan patah tangan,retak kepala akibat kemalangan itu dan kini sedang dirawat di Hospital Kulim,” katanya.
Katanya lagi mayat mangsa kini dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat. – BERNAMA