PUTRAJAYA – Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam serangan ganas di London Bridge dan Pasar Borough yang mengorbankan enam nyawa serta mencederakan sekurang-kurangnya 20 yang lain termasuk anggota polis.
Perkara itu disahkan oleh Kementerian Luar dalam satu kenyataan dan berkata pemantauan rapi dengan pihak berkuasa tempatan sedang dilakukan mengenai perkara itu.
Rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan berhampiran turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi setiap arahan pihak berkuasa tempatan.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan memaklumkan tentang perkembangan terkini berhubung kejadian itu kepada masyarakat Malaysia yang tinggal di bandar raya berkenaan,” kata kenyataan itu.
Kementerian itu berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan kecemasan atau maklumat lanjut, boleh menghubungi suruhanjaya itu melalui talian +44 (0) 207 242 4308 atau emel di alamat [email protected].
Dalam kejadian pada awal pagi itu, sekurang-kurangnya tujuh orang dikhuatiri maut dalam dua serangan iaitu di London Bridge dan Pasar Borough disahkan oleh polis sebagai angkara pengganas.
Di Pasar Borough, tiga penyerang yang bertindak menikam beberapa orang di kawasan pasar itu ditembak mati oleh polis.
Menurut Ketua Antikeganasan Britain, Mark Rowley kesemua suspek yang ditembak itu memakai jaket bunuh diri palsu.
“Suspek memakai apa yang kelihatan seperti jaket bahan letupan tetapi kemudiannya kami dapati ia adalah palsu, ” katanya. MYNEWSHUB.CC