KUALA LUMPUR – Skuad bola jaring negara menggunakan khidmat pasukan bola jaring lelaki sebagai pasukan ‘sparring’ dalam usaha membantu meningkatkan stamina pemain menjelang Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.
Pengurus skuad kebangsaan Zaiton Ab Ghani berkata perlawanan berdepan pemain lelaki mewakili pasukan kelab itu banyak membantu pemain bukan sahaja dari segi peningkatan stamina, malah melibatkan kekuatan fizikal dan kepantasan pemain.
Selain itu, beliau berkata menentang pasukan lelaki dapat membantu pemain negara mengurangkan rasa gentar apabila berdepan pasukan lawan pada temasya dwi tahunan itu nanti.
“Kita adakan perlawanan dua kali seminggu…satu dengan pasukan lelaki dan satu lagi dengan skuad remaja wanita.
“Lawan dengan pasukan lelaki, pemain kita lebih bersemangat dan sememangnya banyak membantu pemain. Mereka dapat tingkatkan kekuatan fizikal dan juga kepantasan. Sebab pemain lelaki, mereka main pantas dan agak lasak.
“Kita juga dapat kurangkan rasa takut pemain berdepan siapa saja lawan yang bakal mereka hadapi. Saya cuma pesan kepada pemain lelaki, jangan cederakan pemain saya sudahlah,” katanya pada sidang media Program Kita Juara 2017 hari ini.
Dalam pada itu, Zaiton berkata kehadiran jurulatih dari Australia, Tracey Robinson yang turut dibantu penolong jurulatih Aminah Asaari sangat membantu persiapan skuad negara dari segi taktik permainan.
Beliau berkata skuad negara juga akan ke Australia bagi menjalani latihan tahap tertinggi bersama pasukan yang menduduki ranking nombor satu dunia dalam acara bola jaring itu dari 16 hingga 23 Jun depan.
“Suntikan semangat yang diberikan oleh Tracey telah membantu skuad negara dan kita dapat lihat apabila Malaysia muncul juara pada Kejohanan Bola Jaring Asia di Thailand, tahun lepas.
“Kita yakin Tracey dan pemain dapat mengulangi kejayaan mereka dan kita dapat lihat pemain menunjukkan semangat mereka dalam sesi latihan,” katanya.
Mengenai venue pertandingan, Zaiton berharap pemain berpeluang menjalani latihan di venue sebenar sebelum temasya dwi tahunan itu bermula.
Zaiton berkata beliau dimaklumkan venue pertandingan di Stadium Juara Bukit Kiara itu akan siap sepenuhnya pada 15 Jun ini.
“Kita harap sangat dapat berlatih di venue asal supaya pemain dapat merasai situasi sebenar pertandingan nanti,” katanya.
Pada masa ini, skuad bola jaring menjalani latihan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang.
Untuk rekod, skuad bola jaring negara meraih pingat emas pada temasya 2001 di Kuala Lumpur.
Pada edisi 2015, skuad negara tewas tipis 43-46 kepada tuan rumah Singapura dalam perlawanan akhir, apabila bola jaring dipertandingkan semula selepas 14 tahun tidak disenarai di Sukan SEA. – BERNAMA