AIDILFITRI menjelang setelah sebulan menahan lapar dan dahaga. Sepanjang bulan Ramadan, aktiviti fizikal yang dibuat mungkin kurang dan gaya hidup juga mengalami sedikit perubahan.
Oleh sebab itu, pada musim perayaan ini akan lebih cenderung ke arah memakan makanan yang mengandungi banyak lemak, gula dan kalori yang tinggi.
Seseorang mungkin mengambil makanan yang berkalori tinggi tanpa mereka sedara dan ini boleh menyebabkan seseorang itu mengalami penambahan berat badan lebih kurang 2-3 kg semasa hari raya.
Kalori berlebihan bukan sehaja menyebabkan berat bertambah, ia juga boleh menyebabkan masalah yang lain seperti gastrik dan makanan sukar untuk dihadam.
Pengambilan kalori yang tinggi juga merupakan punca penyakit yang lebih teruk seperti kencing manis dan darah tinggi.
Kami kongsikan 5 tips berguna yang boleh membantu anda kekal sihat semasa Hari Raya ini…
1- Kebiasaannya, pelbagai jenis makanan akan dihidangkan semasa hari raya seperti rendang, ketupat dan 1001 jenis kuih raya. Anda dinasihatkan mengambil sedikit masa untuk melihat semua makanan yang terhidang sebelum membuat keputusan untuk memilih makanan yang anda inginkan.
Dengan cara ini, ia boleh membantu anda memilih jumlah makanan yang anda mahukan dengan terkawal dan tidak mengikut nafsu semata-mata.
2- Anda dinasihatkan supaya tidak lupa untuk meminum air kosong dengan kuantiti yang cukup dan mengambil makanan yang kaya dengan fiber. Ini untuk mengelakkan anda mengalami masalah sembelit semasa hari raya.
Orang lain bergembira di hari raya, anda pula terpaksa ‘berkampung’ di dalam tanda kerana sakit perut..
3- Hidangan hari raya kebanyakannya terdiri dari makanan yang manis, berlemak dan ada juga yang mengandungi kandungan garam yang tinggi. Oleh itu anda dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan makanan seperti ini.
Air bikarbonat juga hendaklah dikurangkan kerana mengandungi gula yang sangat tinggi. Bukan langsung tidak boleh dinikmati, tetapi lebih baik jika dikurangkan kuantitinya.
4- Mengambil beberapa biji kurma sebelum sembahyang raya adalah sangat digalakkan. Anda juga dicadangkan untuk mengambil makanan seperti roti gandum penuh, susu rendah lemak dan buah-buahan sebagai sarapan ringan sebelum anda menjamah ketupat dan rendang.
Ini bertujuan untuk mengalas perut anda dan anda tidak akan memakan hidangan tersebut dengan kuantiti yang banyak.
5- Untuk makan tengahari dan makan malam, pasti kebanyakan dari kita yang mungkin sudah terlalu kenyang dengan ketupat dan lemang serta hidangan hari raya yang lain.
Namun, sekiranya anda berjaya mengawal pemakanan anda pada hari tersebut, anda bolehlah menambah pengambilan sayur-sayuran, dan buah-buahan segar. Sayur-sayuran dan buah-buahan ini sangat penting untuk membantu penghadaman makanan yang anda ambil sepanjang hari tersebut.
Selamat mencuba dan selamat hari raya! – MYNEWSHUB.CC