MELAKA – Walaupun sekadar mencatat keputusan seri, namun Syria optimis mampu bangkit pada perlawanan berikutnya menentang Korea Selatan pada 31 Ogos depan, kata Ketua Jurulatihnya, Ayman Al-Hakeem.
“Saya berpuas hati dengan persembahan pemain kerana kebanyakan daripada tunggak utama pasukan masih mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita menerusi penterjemah pada sidang media selepas tamat perlawanan.
Ayman berkata beliau mengakui bahawa anak didiknya banyak melakukan beberapa kesilapan yang membuka peluang kepada China meraih dua gol pada awal perlawanan namun nasib menyebelahi pasukannya pada akhir babak perlawanan.
Syria mencatat keputusan seri 2-2 ke atas China pada perlawanan kelapan kumpulan A, Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, di sini malam ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih China, Marcello Lippi berkata walaupun skuad kendaliannya berjaya menguasai permainan pada malam ini namun kemenangan tidak berpihak kepada mereka apabila gagal mengekalkan momentum sehingga tamat perlawanan.
“Meskipun kami dah cuba melakukan yang terbaik dengan mencipta banyak peluang dan memberikan tentangan namun kami tidak ada pilihan lain melainkan perlu menang apabila menentang Uzbekistan selepas ini kerana setiap pasukan mempunyai peluang untuk menempah slot kelayakan,” katanya.
Katanya skuad China perlu kembali bangkit dengan mempertingkatkan kualiti permainan selain memperkemas benteng pertahanan mereka bagi mengharungi perlawanan seterusnya.
Lippi turut menyatakan rasa kurang berpuas hati apabila mempersoalkan tindakan keputusan pengadil perlawanan yang memberikan sepakan percuma kepada Syria pada masa tambahan. – BERNAMA