BARU sekejap tadi kami laporkan perkembangan ahli kumpulan Big Bang, T.O.P yang disingkirkan daripada perkhidmatan latihan ketenteraan akibat penyalahgunaan dadah jenis marijuana.
Terbaru, rapper berusia 29 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri pada pagi Selasa dan dikejarkan ke hospital, menurut agensi yang mewakilinya, YG.
Portal hiburan Korea Selatan Soompi melaporkan T.O.P yang ditempatkan di wad kecemasan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sehingga kini masih tidak sedarkan diri.
Menurut sumber, T.O.P. tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil dadah secara berlebihan namun pihak hospital masih menantikan keputusan ujian yang dilakukan terhadap penyanyi itu.
Penyanyi itu dipercayai mengambil dadah kerana tertekan selepas terlibat dalam skandal penyalahgunaan dadah sehingga menjejaskan reputasinya sebagai selebriti berpengaruh.
Ketika ini, semua ahli keluarga T.O.P. berada di hospital menantikan perkembangan terbaharunya.
Terdahulu T.O.P. yang sedang mengikuti program latihan ketenteraan telah disingkirkan berkuakuasa serta-merta setelah empat bulan ditugaskan di Pejabat Polis Gangnam Seoul.
Penggunaan marijuana atau ganja diharamkan di Korea Selatan dan boleh dijatuhkan hukuman maksimum lima tahun dipenjara atau didenda sehingga 50 juta won (RM190,270). – MYNEWSHUB.CC