MELBOURNE – Pemilik baharu taman tema Gumbuya yang terletak di Melbourne, Australia, mengumumkan pelaburan sebanyak US$37 juta untuk menaik taraf taman tema berkenaan menjadi “Disneyland of Victoria”, lapor agensi berita China Xinhua.
Taman tema usang itu, akan dinaik taraf menjadi taman tema bertaraf dunia dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk landasan helikopter.
Ia sekaligus merangsang pertumbuhan peluang pekerjaan dengan jumlah bilangan pekerja dijangka meningkat daripada 56 orang kepada 500 petugas selepas kerja-kerja naik taraf selesai.
Taman tema berusia 40 tahun yang masih beroperasi itu, akan dinamakan semula sebagai Taman Gumbuya Oz-Venture untuk menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Selain menyediakan aktiviti menunggang dan merentasi belukar, terdapat lebih 300 spesis haiwan termasuk emus, koala, wombat dan anjing liar (dingo) terdapat di situ.
Pengarah Urusan Ron Weinzierl berkata, resort belukar juga akan dibina serta kemudahan kabin, tapak perkhemahan dan hotel untuk pengunjung yang ingin bermalam.
Pemilik konsortium terkenal Gerry Ryan, Wal Pisciotta dan Adam Campbell membeli taman seluas 166 hektar itu pada 2016 dengan harga AS$3.5 juta.
Pengasas Jayco Caravans, Ryan berharap taman tema yang sudah lama itu dapat diberikan nafas baharu.
“Dahulu saya pernah membawa anak-anak ke Gumbuya semasa mereka kecil dan sekarang mahu cucu saya pula menikmati keseronokan taman tema yang luar biasa,” katanya. – BERNAMA