ANKARA – Seorang lelaki yang cuba mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh ke dalam lubang tandas terpaksa dibantu anggota bomba selepas tangannya tersangkut di dalam tandas berkenaan.
Kejadian aneh tersebut berlaku di sebuah hospital di bandar Erzurum yang terletak di timur laut Turki, menurut laporan media tempatan di sini.
Dalam usaha untuk mendapatkan semula telefon pintarnya itu, mangsa yang namanya tidak didedahkan dikatakan menahan nafas sebelum menyeluk ke dalam lubang tandas itu.
Bukan sahaja dia gagal mendapat semula telefonnya, malah tangannya tersangkut.
Jeritannya meminta bantuan didengari pesakit dan kakitangan hospital yang menelefon bomba untuk mendapatkan bantuan.
Bomba terpaksa menggunakan alat khas bagi melebarkan lubang tandas itu sebelum dapat menarik tangan lelaki itu keluar dalam operasi hampir sejam. – Agensi/myMetro Online