NASIB malang bagi seorang lelaki berusia 42 tahun apabila tangan kanannya tersangkut di dalam lubang tandas di Taman Seri Kemuning, Temerloh, Pahang, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Adli Azani Mohd Amin cuba mengambil pemetik api yang terjatuh ke dalam lubang tandas.
Namun, cubaanya mengundang padah apabila tangannya tersangkut dan terpaksa menanggung kesakitan kira-kira sejam sebelum diselamatkan anggota bomba.
Media tempatan melaporkan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh Hashnuddin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 4.18 petang sebelum tiba bagi melakukan kerja memotong bahagian saluran najis itu.
“Ketika operasi dijalankan mangsa dalam keadaan stabil. Setelah memotong dan memecah batu saluran najis itu tangan lelaki berkenaan dapat dikeluarkan bersama salur paip tersebut.
“Anggota bomba menggunakan beberapa peralatan khas iaitu mesin pemotong besi dan batu sebelum mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit dalam tempoh kira-kira 20 minit,” katanya.
Beliau berkata, mengikut keterangan mangsa ketika kejadian dia hanya berseorangan di rumah sebelum menjerit meminta bantuan jirannya selepas tangannya tersangkut.
Jiran yang terdengar jeritan mangsa kemudiannya menghubungi bomba.
Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk menerima rawatan selanjutnya. – MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan…