BAGHDAD – Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi mengesahkan bahawa kerajaan palsu militan Daesh di negara berkenaan secara rasmi sudah pun berakhir.
Ia selepas tentera Iraq berjaya menawan kubu kuat terakhir militan pengganas itu di Masjid Al-Nuri dan simbol menara al-Habda di Mosul, terletak kira-kira 418 kilometer dari ibu kota Baghdad.
Stesen Aljazeera melaporkan rampasan dramatik terhadap masjid yang berusia 850 itu memberikan tanda simbolik kemenangan kepada tentera Iraq yang telah bertempur untuk menawan semula Mosul.
Ini kerana Daesh sendiri secara terbuka mengisytiharkan Mosul; yang ketika itu berpenduduk lebih 600,000 orang, sebagai bandar Khalifah pertama ditadbirnya lebih tiga tahun lalu.
“Kini Masjid Al-Nuri dan menara al-Hadba sudah kembali kepada rakyat, menandakan berakhirnya cengkaman Daesh,” kata Haider, 65, yang menjadi ketua kerajaan Iraq sejak 2014.
Menurut beliau lagi, tentera Iraq akan terus memburu dan menghapuskan saki baki semua anggota Daesh yang cuba melarikan diri di beberapa kawasan berdekatan.
Masjid Al-Nuri dibina pada zaman pertengahan dan terkenal dengan menara condong, ditawan sepenuhnya tentera Iraq yang disokong AS.
Pada Mac lalu, tentera Iraq melancarkan operasi khas merampas kembali Mosul.
Sejak Jun 2014, Daesh diketuai Abu Bakar Al Baghdadi mengibarkan bendera hitam di puncak menara al-Hadba dan mengisytiharkan Mosul sebagai tapak pemerintah khalifah.
Al-Baghdadi mengaku dirinya keturunan Nabi Ibrahim. Selain itu turut mengumumkan misi negara Khalifah merangkumi Rom, Itali dan Perancis.
Al Baghdadi dalam khufbah pertamanya turut mengakui dirinya diutuskan Tuhan untuk menubuhkan kerajaan Khalifah.
Sejak Jun 2014, Daesh berjaya mengumpulkan puluhan ribu tentera di Iraq dan Syria. Malah, kempen berkesan media sosial militan itu berjaya merekrut sokongan di seluruh dunia. – MYNEWSHUB.CC