TARAKAN – Pelancaran rondaan maritim, Trilateral Maritime Patrol (TMP) Indomalphi yang melibatkan pasukan tentera dari Malaysia, Indonesia dan Filipina hari ini memberi mesej kepada dunia tentang komitmen tinggi ASEAN dalam usaha membanteras aktiviti dan ideologi keganasan.
Ia juga menunjukkan kesefahaman dan kepercayaan yang tinggi antara negara terlibat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, dunia harus sedar adalah mustahil untuk satu negara bekerja secara silo atau bersendirian dalam membanteras aktiviti tersebut, sebaliknya ia harus dilakukan secara bersama dengan melibatkan aset ketenteraan, strategi yang kukuh, serta kepercayaan.
“Bagi saya bukan rondaan yang begitu penting. Bagi saya kepercayaan yang telah dibina oleh tiga negara, negara-negara merdeka dengan dengan tentera yang bebas, berbincang dan bekerja bersama adalah isyarat yang cukup jelas kepada dunia yang berpecah belah sekarang.
“Dengan azam politik dan kepercayaan, tidak ada yang mustahil… dan ini petanda bahawa tahap keselesaan dalam kalangan tiga negara ini dan kesedaran bahawa ia tidak boleh ditangani secara bersendirian,” katanya kepada media Malaysia selepas melancarkan inisiatif berkenaan bersama-sama rakan sejawatannya Ryamizard Ryacudu dari Indonesia dan Delvin N Lorenzana dari Filipina, di atas kapal Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkat Laut KRI dr. Suharso-990, di Pelabuhan Tarakan, di sini.
Hishammuddin, yang juga Menteri Tugas-tugas Khas berkata, walaupun inisiatif ini masih di peringkat awal dan belum menunjukkan sebarang hasil, namun kepercayaan antara tiga negara itu, selain rondaan bersama, perkongsian aset dan maklumat risikan, memberi mesej kepada dunia bagaimana ASEAN melakukannya.
Terdahulu, Hishammuddin dan rakan-rakan sejawatannya turut menyaksikan upacara menandatangani epigraf oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Jeneral Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima TNI Jenderal Gatot Nurmantyo, dan Ketua Pegawai Turus Angkatan Tentera Filipina Jeneral Eduardo M Ano AFP, sebagai melambangkan pelancaran Pusat Kawalan Maritim untuk Tarakan, Indonesia; Tawau, Malaysia; dan Bongao, Filipina.
Turut menyaksikan acara berkenaan ialah Menteri Kanan Singapura Dr Maliki Osman, dan Timbalan Menteri Pertahanan Brunei Datuk Seri Abdul Aziz Moh Tamit.
Mengulas mengenai kehadiran wakil Brunei dan Singapura, Hishammuddin berkata terdapat perancangan untuk memperluaskan kerjasama rondaan berkenaan kepada dua negara terbabit.
“Namun, kita kena putuskan di peringkat menteri-menteri dahulu, kerana yang datang tadi (Maliki dan Abdul Aziz) ialah wakil kepada menteri pertahanan masing-masing. Namun kehadiran mereka cukup jelas bahawa semua memahami pihak musuh yang berada di Selatan Filipina sekarang adalah musuh kita bersama dan adalah mustahil untuk menghadapi ancaman berkenaan secara berseorangan,” katanya.
Sementara itu, menerusi kenyataan media yang diedarkan Hishammuddin berkata matlamat utama pelaksanaan inisiatif TMP adalah bagi memastikan anggota militan termasuk Daesh tidak menjadikan Laut Sulu sebagai laluan tikus untuk menceroboh masuk ke tiga negara ini.
Selain itu, katanya, ia turut dilaksanakan sebagai usaha mengekang dan menangani aktiviti lanun, penculikan dan rompakan bersenjata di perairan berkenaan.
“Cadangan ini adalah bersandarkan kepada kejayaan Malacca Straits Patrol (MSP) di Selat Melaka yang melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand, dan pelaksanaan MSP terbukti berjaya membanteras kegiatan lanun.
“Justeru, saya percaya, template yang kita gunakan selama lapan tahun ini di Selat Melaka, yang mana ianya memfokuskan kepada Coordinated Sea Patrol, Eyes In The Sky, dan Intelligence Exchange amat sesuai digunapakai dan diimplementasi di Laut Sulu,” katanya.
Hishammuddin berkata kaedah pelaksanaan yang telah dipersetujui ketiga-tiga negara antara lain merangkumi rondaan laut biasa oleh negara masing-masing, rondaan laut terkoordinasi, dan rondaan udara bersama, memastikan aset berdaftar yang melaksanakan rondaan laut dapat memberi bantuan kecemasan di Laut Sulu dan Sulawesi sekiranya memerlukan, serta melaksanakan rondaan udara secara bergilir-gilir.
“Secara peribadi, saya amat berharap inisiatif ini berupaya memberi impak positif dan kesan langsung terhadap aspek keselamatan Sabah serta perairan Laut Sulu.
“Selaku negara anggota ASEAN, Malaysia akan terus memikirkan pendekatan dan kaedah terbaik dari masa ke masa demi memelihara kesejahteraan dan keamanan negara serta serantau,” katanya. – BERNAMA